Pengalaman Menaiki ETS

Bismillahirahmanirahim,
Assalamualaikum & Hello.

Berdasarkan tajuk sudah jelas post kali ini adalah mengenai salah satu pengangkutan awam di Malaysia yang mampu menghibungkan beberapa negeri. ETS merupakan kereta api elektrik yang boleh dikategorikan agak laju. Ini adalah memngenai pengalaman sendiri menaiki ETS dan tiada ditaja atau disogok. Dalam beberapa hari lepas saya menaikki ETS daripada Seremban ke Taiping. Perjalanan balik pula dari Kamunting ke Seremban.
1. Tiket
Perkara pertama yang dilakukan untuk menaiki ETS adalah dengan menempah tiket. Cara tempahan tiket boleh melalui atas talian atau di kaunter. Mengenangkan teknologi begitu canggih masa kini sudah semestinya atas talian yang menjadi pilihan. Bayaran boleh dibuat melalui visa, master card, maybank2u dan juga BSN. Disebabkan saya mempunyai akaun CIMB dan Bank Islam jadi saya menggunakan visa/master card untuk membayar. Dengan adanya pembelian atas talian amat memudahkan tapi jika ada yang tidak tahu cara untuk pembelian secara atas talian anda boleh ke kaunter terdekat untuk pembelian. Jika di kaunter pihak ETS akan membantu anda dari segi pemilihan tempat duduk dan pelbagai penerangan dapat dijelaskan kepada anda. Kalau pembelian secara atas talian anda kena banyak buat kajian sendiri melalui blog-blog yang lain. (macam saya puas berjalan ke blog orang lain untuk mengetahui cara pembelian tiket dan pemilihan tempat duduk) Untuk bukti tiket anda boleh simpan di dalam telefon pintar ataupun cetak. Anda boleh cetak sendiri melalui mesin pencetak di rumah ataupun di kaunter. jika di kaunter anda hanya perlu tunjukkan nombor siri pembelian tiket anda dan pihak ETS akan cetakan secara percuma.

2. Tempat duduk
Tempat duduk dipilih ketika pembelian tiket. Anda boleh memilih tempat duduk sendiri mengikut keselesaan anda. Jika anda ingin duduk dengan pelbagai kemudahan saya sarankan koc c kerana ianya berdekatan dengan kafe, surau dan juga tandas tetapi anda mungkin terganggu kerana ramai penumpang akan sentiasa mengunjungi kafe. Penumpang lain akan mundar mandir di kawasan koc c kebiasaanya. Tempat duduk anda ada tertera pada tiket nombor tempat duduk dan juga koc. Pastikan anda duduk di tempat yang betul untuk menggelakkan ketidak selesaan pada penumpang yang lain. Pelbagai aspek juga harus diambil dalam pemilihan tempat duduk sebagai contoh cara kerusi itu menghadap sama ada ke utara atau selatan. Ada beberapa kerusi yang menghadap ke selatan dan utara. Oleh itu, pilih kerusi mengikut perjalanan anda. Jika anda ingin ke utara pilih kerusi yang mengahdap ke utara dan jika ke selatan dan sebaliknya. Kerana sesetengah orang sensitif dengan keadaan kedudukan kerusi kerana perkara ini boleh membuatkan perjalanan yang lama menjadi kurang selesa. Kerusi juga boleh diselaraskan mengikut keselesaan anda.

3.Ketibaan ETS
ETS biasanya akan tiba tepat pada waktunya. Pastikan anda berada awal daripada waktu ketibaanya untuk mengelakan daripada anda terkejar-kejar. Lebih-lebih lagi jika stesyen anda bukan merupakan stesyen utama ETS. Tempoh masa perjalanan yang tertera pada tiket kebiasaannya boleh dikatakan agak tepat. Jadi anda tidak perlu risau tentang ETS tertunda atau apa.

4.Tempat bagasi
Tempat bagasi terdapat dua bahagian satu diatas tempat duduk dan satu lagi di depan setiap koc akan ada satu kawasan untuk meletak bagasi. Jika anda membawa bagasi yang besar sehingga tidak mampu untuk diletakkan atas tempat duduk, anda boleh meletakannya di kawasan yang lagi satu. Cuma jangan sehingga lupa, kerana bagasi anda adalah tanggungjawab anda.

5. Kemudahan
Antara kemudahan yang terdapat dalam ETS adalah seperti tandas, surau dan kafeteria. Tandas di dalam ETS ada pada setiap koc jadi tidak perlu risau untuk hal berebut tandas. Tandas yang bersih dan mempunyai pili air sangat selesa untuk digunakan. Hanya satu surau yang terdapat dalam ETS anda harus berkongsi antara lelaki dan perempuan. Surau terletak di koc c dan didalamnya dilengkapi dengan pili air untuk mengambil wuduk; sejadah serta telekung turut di sediakan. Jadi anda tidak perlu risau kalau-kalau terlepas waktu. Kafeteria hanya menjual makanan yang mudah untuk dimakan di dalam kenderaan, pilihan makanan agak terhad; jenis minuman yang ada seperti minuman 3 dalam 1 dan juga air botol. Harga makanan dan minuman agak berbaloi meskipun ada yang kata agak mahal tapi bolehlah untuk mengalas perut jika betul lapar. Minuman dan makanan disajikan panas, jadi sangat sesuai dengan kedaan sejuk di dalam ETS.

Secara kesimpulannya, saya berpuas hati dengan perkhidmatan ETS. Berbaloi dengan harga tiket, dari segi keadaan dalaman kereta api yang bersih, teratur, mempunyai papan tanda yang mudah di baca, keselesaan dan keselamatan. Selepas ini jika hendak melancong ke utara atau selatan bolehlah menggunakkan pengangkutan awam sahaja. 😀😃









Comments

Popular Posts